Thursday, 24 January 2013

Shabery Cheek Komen Isu Askar Masuk Stadium

Tindakan membawa askar ke stadium bukan budaya sukan Malaysia dan perkara seperti itu tidak sewajarnya berlaku, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.

Menteri Belia dan Sukan menegur insiden pada 15 Januari lalu, apabila sekumpulan askar lengkap berpakaian seragam dan bersenjata mengawal perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Kehadiran askar yang mengiringi skuad Johor Darul Takzim itu menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pemimpin dan penyokong Kelantan kerana ia menimbulkan polemik seolah-olah Stadium Sultan Muhammad IV tidak selamat.

“Apa yang berlaku di padang bola sekarang adalah perkara yang tidak lazim berlaku. Ia bukan kebiasaan dalam budaya sukan di negara ini.

“Saya tidak fikir wajar mana-mana pihak membawa askar peribadi dan bersenjata ke stadium. Mereka tidak patut mengambil bahagian dalam sukan kerana kita ada polis yang boleh mengawal keadaan, kecualilah jika polis sendiri yang minta bantuan," katanya.

Ahmad Shabery menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Akademi Skuasy Azlan Iskandar di sini, semalam.

Hubungan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sudahpun tegang sebelum saingan liga bermula gara-gara isu perpindahan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan menjadi bertambah buruk selepas perlawanan Selasa lalu, yang berkesudahan seri 1-1.

Pengurusan PBNJ mendakwa KAFA tidak menitikberatkan soal kawalan keselamatan menyebabkan beberapa insiden melontar objek kepada penyokong mereka berlaku dalam perlawanan itu.

KAFA pula mendakwa Johor Darul Takzim keterlaluan dalam aspek menjaga pasukan mereka sehingga membawa askar bersenjata ke dalam stadium.

“Perkara yang luar dari kebiasaan sepatutnya diselesaikan segera pada perlawanan akan datang. Jika perkara ini terus berlaku ia akan menjadi sesuatu yang memalukan negara.

“Saya sendiri mengambil berat tentang apa yang berlaku, perkara yang tak lazim berlaku kini sudah berlaku," kata Ahmad Shabery lagi.

Menurut Ahmad Shabery, walaupun kontroversi dalam sukan kadang kala bagus untuk menimbulkan minat orang ramai menyaksikan perlawanan di stadium tetapi kontroversi berlebihan perlu dielakkan.

“Kontroversi penyokong bakar kereta yang pernah berlaku sebelum ini telah menyebabkan stadium dipenuhi peminat, namun kontroversi tidak boleh berterusan.

“Elemen luar biasa dan keganasan akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap soal keselamatan dalam stadium dan keselamatan negara," katanya.

-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib