Monday, 7 January 2013

Saingan Liga Super 2013 Bermula Esok

DUA belas pasukan dalam Liga Super 2013 berentap bagi mencari gelaran juara.

Aksi Liga Super membuka tirai esok dengan 12 pasukan turun, diiringi satu tekad - memulakan kempen dengan langkah kanan.

Mungkin siapa sahaja mampu untuk muncul juara Liga Super dalam musim baru ini. Malah semua pasukan yang giat menjalankan persiapan untuk memantapkan pasukan masing-masing dengan menandatangani pemain-pemain baru serta mendapatkan khidmat pemain import - yang bakal menjanjikan saingan kali ini pasti sengit.

Namun, tumpuan seharusnya beralih kepada Kelantan apabila sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2012 dengan meraih treble. Pastinya menjadi perhatian peminat tempatan sama ada pasukan itu mampu mengulangi kecemerlangan itu ataupun tidak pada musim ini.

Malah dengan ketiadaan dua penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Tahala dan Mohammad Ghaddar yang mengubah haluan bersama pasukan baharu, mampukah Kelantan mengekalkan reputasi selaku pasukan terunggul di negara ini.

Kelantan seharusnya sedar bahawa kejayaan merangkul gelaran trebel musim lepas apabila ‘menyapu bersih’ ketiga-tiga trofi iaitu Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia, kejayaan The Red Warriors pastinya dicemburui ramai pihak.

Sehubungan itu, Kelantan perlu berwaspada dan mengetahui bahawa terdapat pasukan lain yang mampu mencabar pencapaian mereka musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau percaya kehadiran beberapa pemain baru dalam skuad Kijang musim ini dapat merealisasikan impian The Red Warriors mengekalkan kejuaraan treble.
“Saya yakin dengan kehadiran pemain bertaraf bintang dari luar negara dan tempatan dapat membantu Kelantan mengharungi laluan yang dijangka sukar musin ini dengan kehadiran pasukan kuat seperti Johor dan Tentera,” katanya.

Begitu pun, berbeza musim lepas, beberapa pasukan banyak melakukan transformasi besar-besaran, antaranya Terengganu, T-Team, Perak, Selangor dan Johor Darul Takzim FC.

Bagaimanapun, fenomena angin selatan nampaknya lebih menyerlah.

Johor Takzim FC yang dahulunya dikenali sebagai skuad Jengking melakukannya penjenamaan semula dengan menggelar pasukan itu sebagai Harimau Selatan.

Bukan itu sahaja, Johor semakin serius untuk kembali menjadi pasukan disegani dengan membawa beberapa nama besar untuk memperkasakan pasukan itu musim ini.

Antaranya adalah, bekas pemain kebangsaan skuad Sepanyol, Daniel Guiza, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Muslim Ahmad dan Azmi Muslim, penyerang terbaik Liga Malaysia musim 2012, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Jadi, Kelantan seharusnya sedar bahawa bukan mudah untuk mengekalkan reputasi selaku pasukan terunggul di negara ini dan mereka harus melakukan sesuatu agar kejuaraan yang dimenanginya itu dapat dipertahankan.

Bukan Kelantan, Selangor dan Terengganu yang sebelum ini sering mendominasi kedudukan tiga terbaik mungkin sedikit gusar akan perkembangan barisan pemain Johor.

Sedikit keraguan dari segi keserasian yang mampu dijelmakan pemain Johor sedia namun Fandi Ahmad sudah tentu ada ramuan tersendiri bagi memastikan Harimau Selatan digeruni musim 2013.

Menurut Fandi, jurulatih Harimau Selatan, beliau optimis pasukannya mampu menyerlah dalam saingan Liga Malaysia 2013.

Bagaimanapun, bintang legenda bola sepak Singapura berusia 50 tahun itu tidak meletakkan sasaran awal meskipun pasukan itu dibarisi beberapa pemain kebangsaan termasuk penyerang Safee dan Norshahrul.

"Saya bagaimanapun berkeyakinan mampu mengembalikan pasukan ini sebagai sebuah pasukan yang disegani dalam masa dua tahun lagi," kata Fandi.

Optimis untuk merealisasikan misi dan objektif Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), pasukan Johor sudah mula merancang untuk mengadakan persiapan dalam masa terdekat.


Fandi berkata, semua pemain dalam pasukannya diingatkan supaya sentiasa mementingkan disiplin, dedikasi dan integriti dalam mengharungi kancah Liga Super pada musim hadapan.

“Insya-Allah pasukan lebih mantap dari tahun lalu. Kita akan mengadakan persiapan dari sekarang.

“Kita dapat beberapa pemain dari pasukan kebangsaan termasuklah Mohd Muslim Ahmad. Mudah-mudahan dengan ada beberapa pemain ‘senior’ dapat membantu pasukan Johor,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa nama pasukan lain tidak seharusnya dipandang remeh. Tidak mustahil nama seperti Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak dan Negeri Sembilan pasti melakukan kejutan dalam saingan musim ini.

Bagi jurulatih Selangor, Irfan Bakti, memiliki  beberapa pemain leperti Sharbinee Allawee, Afiq Azmi, Mohd. Ramzul Zahini Adnan, Abdul Shukor Jusoh dan pemain import terbaru, Francis Forkey Doe, The Red Giant mampu mencabar kejuaraan liga walaupun kehilangan khidmat ketua pasukan, Safiq Rahim, Azidan Sarudin dan Amirul Hadi Zainal.

Meletakkan sasaran mahu memenangi sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini, Irfan tidak terlalu berasa gusar dengan kekuatan Johor yang dilimpahi pemain bertaraf bintang.

"Bagi saya, matlamat Selangor untuk merangkul sekurang-kurangnya satu trofi pada musim depan tidak akan terjejas biarpun dengan kehadiran Johor yang berwajah baru, saya langsung tidak bimbang, " katanya.

Dalam pada itu, Pahang turut tidak kurang hebatnya apabila mempertaruhkan dua pemain import dan empat muka baru bagi merebut salah satu kejuaraan Liga Malaysia musim baru.

Pemain yang menjadi pertaruhan ialah pemain kelahiran Macedonia, Nicolche Klechkaroski, 29, dan Mohamed Borji, 32, dari Maghribi, yang kedua-duanya merupakan pemain penyerang.

Sementara empat pemain tempatan ialah Mohd Nasril Mat Nordin yang sebelum ini beraksi untuk Perak dan tiga bekas pemain Selangor iaitu Mohd Razman Roslan, Mohd Amirulhadi Zainal dan Azidan Sarudin.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, barisan kali ini dilihat mampu memberi saingan yang cukup sengit kepada pasukan lain.

“Kita mahu menempatkan diri pada kedudukan yang baik dalam Liga Super dan kalau ada rezeki siapa tahu kita juga akan ke final Piala Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Dollah turut berkata, beliau telah nampak keserasian antara kedua-dua pemain import tersebut dengan pemain lain selepas menguji prestasi dan kecergasan mereka pada perlawanan persahabatan dengan kelab di Hong Kong baru-baru ini.

“Prestasi yang ditunjukkan kedua-dua mereka amat membanggakan terutamanya Mohamed Borji dan saya percaya mereka dapat memantapkan lagi pasukan Pahang,” katanya.

Beliau berkata, empat pemain tempatan baru juga menunjukkan kesungguhan masing-masing bagi memastikan mereka tersenarai dalam kesebelasan utama.

Juara Liga Perdana musim lepas, ATM tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja. Sebagai pasukan bukan pilihan dan tidak diberi perhatian, pasukan kelab ini mampu membuat kejutan seperti mana dilakukannya dalam saingan Piala Malaysia sebelum ini.

Malah, jurulatih ATM, B Sathianathan juga sudah mula melaungkan amaran kepada pencabar lain dengan berkata: “Kami mahu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.”

Memasuki tahun baru 2013, Sathia juga optimis sasarannya untuk menamatkan Liga Super dalam kalangan tiga tempat teratas adalah realistik meskipun skuadnya tidak diletakkan harapan tinggi berdasarkan status mereka sebagai pendatang baru liga.

“Saya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya satu piala di samping menamatkan musim dalam kedudukan tiga tempat teratas.

“Sungguh pun, kami adalah pendatang baru liga, kami sudah membuktikan kemampuan kami apabila berjaya mara ke final Piala Malaysia tahun lalu.

"Berdasarkan tempoh pra-musim yang kami lalui, kami kini berada pada prestasi terbaik untuk mengharungi kempen baru ini.

“Pemain baru seperti Shukor, Surendren dan Norfazly  kini sudah menampakkan keserasian beraksi dengan pemain ATM yang sedia ada. Mereka kini sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan pertama menentang Kelantan, Sabtu ini,” tambahnya.

Pasukan lain seperti PKNS, T-Team, Terengganu dan Felda United bukannya tidak kuat untuk mencabar dalam saingan ini tetapi mereka harus melakukan sesuatu agar lebih baik dari perlawanan pramusim sebelum ini.

Siapakah juara musim ini. Adakah Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan atau nama baru akan muncul. Apapun, sama-sama kita nantikan debaran saingan Liga Super 2013.


Berikut jadual Liga Super yang berlangsung esok:

Selangor mln Negeri Sembilan 8.45 mlm Stadium Shah Alam, Selangor

Terengganu mln Felda United 4.45 ptg Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

Pahang mln Johor DTFC 8.45 mlm Stadium Darul Makmur, Kuantan

Perak mln T-Team 4.45 ptg Stadium TLDM, Lumut

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib