Wednesday, 23 January 2013

Polis Serbu Makmal Proses Dadah


Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menyerbu sebuah stor yang dijadikan makmal memproses dadah di Jalan Masai Lama, Plentong di sini kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh geng penjenayah yang menggelarkan diri mereka Kumpulan Chandra.
Katanya, kumpulan tersebut dipercayai telah menjalankan operasi memproses dadah di stor berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Jelasnya, kejayaan tersebut dicapai selepas pihaknya menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun berdekatan stor berkenaan kira-kira pukul 3.40 petang.
"Hasil siasatan awal, kedua-dua lelaki berkenaan telah membawa anggota polis ke stor berkenaan.
"Kami menahan empat lagi lelaki berusia 26 hingga 50 tahun di dalam stor tersebut dan menemui pelbagai jenis dadah serta 100 butir peluru hidup 9 milimeter dan 0.45 milimeter," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini semalam.
Menurutnya, polis turut menemui dan merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah, wang tunai berjumlah RM14,000, sehelai vest polis dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux," ujarnya.
Jelas Zainuddin, dadah yang dirampas adalah 27 kilogram ketamin, empat gram heroin, 43 gram syabu dan pil ekstasi sebanyak 63 biji yang dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 137,000 penagih.
Menurutnya, ujian air kencing mendapati lima daripada enam suspek yang ditahan positif dadah dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Zainuddin memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib