Monday, 7 January 2013

Persie & Giggs pemain berkelas dunia


Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memuji sumbangan pemain gantian, Robin van Persie dan Ryan Giggs pada aksi pusingan ketiga Piala FA menentang West Ham United awal pagi semalam.
Ferguson melabel aksi kedua-dua pemain itu sebagai 'berkelas dunia' kerana menyelamatkan maruah pendahulu Liga Perdana England itu daripada tersingkir awal.
Van Persie yang masuk bagi menggantikan Javier Hernandez pada minit ke-68, meledakkan gol penyamaan skuad The Red Devils pada masa kecederaan.
Giggs pula yang menggantikan Chris Smalling pada minit ke-78 bertindak cemerlang apabila menjadi watak utama membantu van Persie menjaringkan gol penyamaan itu.
Van Persie berjaya menyempurnakan hantaran cantik Giggs yang berjaya melepas jangkauan penjaga gol lawan, Jussi Jaaskelainen.
Dengan keputusan seri itu, kedua- dua pasukan bakal berentap sekali lagi di Old Trafford bagi memastikan siapa yang lebih layak ke pusingan keempat Piala FA.
"Pada mulanya saya ingat perlawanan ini bukan milik kami setelah terlepas beberapa peluang keemasan.


"Namun, hantaran yang dilakukan Giggs memang berkelas dunia dan jaringan van Persie juga cukup menarik," kata Ferguson.
Dalam perlawanan itu, Tom Cleverley terlebih dahulu meletakkan United di depan pada minit ke-23.
Bagaimanapun, kelebihan United tidak bertahan lama apabila skuad The Hammers berjaya menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi jaringan James Collins sebelum dia menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-59.
Meskipun perlawanan ulangan itu terlalu hampir dengan jadual United yang akan mengharungi kempen Liga Juara-Juara, ia tidak membimbangkan Ferguson.
"Selagi kekal dalam saingan Piala FA, saya tetap berpuas hati. Kami pernah mengharungi situasi yang mengecewakan apabila tersingkir awal sebelum ini. Jadi, saya tidak mahu ia berulang kali ini," tegasnya.
Pada masa sama, Ferguson tidak menyembunyikan kekecewaan dengan kerapuhan benteng pertahanan United yang bolos dua gol pada perlawanan itu.
"Kami gagal bertahan dengan baik apabila bolos dua gol yang lebih kurang serupa.
"Saya harap pemain-pemain mendapat pengajaran dan tidak lagi mengulanginya selepas ini," kata Ferguson. - AFP

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib