Saturday, 12 January 2013

Perodua Viva Hangus Terbakar Di Terengganu

Seorang pemandu bas rugi RM40,000 apabila kereta Perodua Viva yang telah diubahsuai terbakar di hadapan rumah keluarganya, di Taman Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, Marang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Mohd Firdaus Che Dahalan, 27, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan ibu mentuanya, Hasmah Muda, 53, yang mendakwa terdengar bunyi letupan kecil sebelum melihat kereta itu terbakar di luar rumah.

Menurut Mohd Firdaus, ahli keluarganya kemudiannya keluar dan terkejut apabila melihat kereta yang sering digunakan adik iparnya, Shahirram Mohamad, 18, itu mengeluarkan asap tebal dan terdapat letupan kecil pada bahagian belakang kenderaan.

“Salah seorang daripada ahli keluarga kami cuba memadamkan api dengan menyiram air, namun api terus menyambar dengan marak menyebabkan kami terpaksa menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Mujur bomba tiba di tempat kejadian lebih awal. Mereka bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran itu tetapi kereta berkenaan hangus terbakar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah keluarganya itu di sini, semalam.

Mohd Firdaus berkata, sebelum kejadian, kereta itu dipandu Shahirram yang keluar minum di luar sebelum pulang semula ke rumah berkenaan pada jam 12 tengah malam.

“Saya tidak dapat pastikan sama ada kejadian ini berunsurkan khianat atau terdapat masalah pada sistem pendawaian kenderaan. Oleh itu, saya serahkan kejadian ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Zamri Awang Long yang mengetuai operasi memadam kebakaran berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu berlaku.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib