Sunday, 27 January 2013

Perlawanan Selangor - ATM Tegang!


Dua isu terus menjadi perbualan utama pertembungan pusingan pertama Piala FA antara Selangor dan Tentera di Stadium Shah Alam, malam kelmarin - pergaduhan pemain kedua-dua pasukan selepas perlawanan dan kad merah terhadap pemain tengah Red Giants, Shukur Jusoh yang ditarik balik.

Bagi Selangor yang tidak berpuas hati dengan pergaduhan itu, akan membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 
“Kami akan buat laporan kepada FAM. Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku. Perlawanan sudah berakhir, biarlah ia berakhir,” kata pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim. 

Pergaduhan berlaku selepas berakhirnya penentuan sepakan penalti ketika pemain kedua-dua pasukan bersalaman di bangku simpanan Tentera.

Penyerang Selangor, Afiq Azmi dikatakan melakukan provokasi sebelum dipukul, malah berlaku insiden kejar mengejar antara pemain kedua-dua pasukan tetapi akhirnya berjaya dileraikan.

Irfan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti siapa yang memukul Afiq dan melempar botol ke mukanya. 
“Saya tak nafikan suasana ketika itu masih panas, tetapi saya kesal kejadian itu berlaku,” katanya.

Jurulatih Tentera, B Sathianathan pula mengambil pendekatan selamat dengan berkata: “Saya tak nampak apa yang berlaku. Ketika itu saya sedang bertemu Irfan.”

Namun, kapten Tentera, Hairuddin Omar melihat insiden itu berpunca daripada tindakan Afiq, penjaring dua gol Selangor yang melakukan provokasi dengan meraikan kejayaan pasukannya menang penalti 3-2 selepas terikat 2-2 sehingga 120 minit di hadapan bangku simpanan Tentera

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib