Monday, 28 January 2013

Pemintaan Kepada Telefon Pintar Meningkat

Para pengedar telefon dan penyedia telekomunikasi tempatan kini mengalami lonjakan jualan yang besar selepas kerajaan memutuskan untuk membenarkan pemberian rebat RM200 bagi kesemua jenis telefon pintar.

Malah, sesetengahnya berhadapan masalah baharu, iaitu mereka tidak mempunyai telefon yang mencukupi untuk dijual, berikutan lonjakan permintaan tersebut.

Langkah kerajaan mengetepikan had membeli telefon pintar bernilai RM500 atau kurang dijangka memanfaatkan kira-kira sejuta belia berusia antara 21 dan 30 tahun yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Sdn. Bhd., Jason Lo berkata, sejak pengumuman tersebut, permintaan mendapatkan telefon pintar meningkat lebih 50 peratus.

Tune Talk adalah salah satu penyedia perkhidmatan bagi pakej itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Pengumuman itu adalah langkah yang baik oleh kerajaan. Kami menerima kira-kira 10 hingga 15 permohonan baharu mendapatkan rebat setiap hari dan bilangan itu semakin meningkat," kata Lo.

Langkah proaktif kerajaan itu memanfaatkan 800 peniaga Tune Talk di seluruh negara, katanya.

"Kami tiada masalah dipada segi stok telefon pintar kerana dasar kami ialah untuk menempah hanya apabila ada permintaan. Kini, permintaannya masih terkawal," kata Lo.
Ketua Jualan NineTology Malaysia Sdn. Bhd., Eddy Tay berkata, para belia mendapat manfaat dari langkah kerajaan melengkapi mereka dengan telefon pintar kerana mereka kini akan dapat memilih lebih banyak model.

"Para belia hari ini bukan sahaja membeli telefon pintar bagi berkomunikasi, malah juga bagi mendapatkan data dari Internet," katanya.

Melalui pengumuman terbaharu itu, Tay berkata, permintaan dari para pengedarnya juga meningkat.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Terminal ZTE Malaysia, Jeremy Zhao berharap kerajaan akan melebarkan kempen itu sehingga meliputi bukan sahaja telefon pintar, malah turut meliputi keseluruhan senarai produk jalur lebar mudah alih bagi membantu meningkatkan opsyen pengguna akhir dan meningkatkan penembusan jalur lebar mudah alih di Malaysia.

 - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib