Saturday, 12 January 2013

Pelajar UTP maut kemalangan di Perak

Seorang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut apabila kereta yang dipandu rakannya memasuki laluan bertentangan ketika cuba mengelak dari sebuah lori di Kilometer 17.5 Jalan Ipoh – Lumut, di sini, semalam.

Mangsa, P Jeyaganthan,21, dari Kota Baharu, Kelantan adalah penuntut tahun dua Kejuruteraan Petroleum, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Satria dinaiki mangsa cuba mengelak lori yang datang dari arah Ipoh selepas keluar simpang di hadapan stesen minyak.

“Sebuah lagi kereta dari arah Lumut tidak sempat menekan brek lalu melanggar bahagian belakang kiri iaitu tepat di tempat duduk Jeyagathan menyebabkan mangsa terhantuk.

“Jeyaganthan maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat, manakala dua lagi rakannya yang cedera mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, pemandu kereta, Ahmad Alamin Zainal Abidin, 23, nyaris maut apabila keretanya tiba-tiba masuk ke jalan bertentangan lalu merempuh lori di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur.

Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dihubungi untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mengalami cedera ringan sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kampar. Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib