Wednesday, 9 January 2013

Messi julang Ballon d'Or kali keempat


Lionel Messi memenangi Anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Ballon d'Or buat kali keempat berturut-turut. Messi menewaskan dua pencabar terdekatnya Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid dan rakan sepasukan Barcelona, Andres Iniesta.

Dia menjaringkan 91 gol untuk Barcelona dan Argentina bagi tahun 2012. "Secara terus terang saya katakan bahawa semua ini adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai terutama apabila memenanginya buat kali keempat.
"Saya juga berasa amat gementar ketika memenanginya," kata Messi.

Anugerah empat kali itu membolehkannya mengatasi pemenang tiga kali FIFA, Zinedine Zidane dari Perancis dan pemain Brazil, Ronaldo. Trofi Ballon d'Or di Eropah juga pernah dimenangi tiga kali oleh pemain legenda Perancis, Michel Platini dan dua pemain Belanda, Johan Cruyff serta Marco van Basten.

Messi menerima undian sebanyak 41.60 peratus daripada jurulatih-jurulatih pasukan kebangsaan, kapten serta pemberita. Sementara Ronaldo menerima 23.68 peratus manakala Iniesta 10.91 peratus.

Ronaldo menerima undian paling tinggi di kalangan pemberita manakala jurulatih lebih banyak mengundi Messi.
"Sama ada saya menang atau tidak itu tidak menjadi masalah kerana semuanya berhak di sini," kata Ronaldo.

Sementara itu, Vicente del Bosque memenangi anugerah jurulatih terbaik setelah membawa Sepanyol merangkul tiga kemenangan besar berturut-turut termasuk Euro 2012.

Dalam pada itu, Abby Wambach yang telah menjaringkan lima gol pada Sukan Olimpik London telah dinamakan sebagai Pemain Wanita Terbaik Dunia. Pemain Barcelona kini telah memenangi 10 kali anugerah sepanjang 22 tahun anugerah FIFA. - AGENSI

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib