Sunday, 6 January 2013

Mayat Bayi Perempuan Di Tong Sampah

Mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan dalam beg kertas di belakang sebuah restoran makanan segera di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dibalut dengan selendang berwarna merah dan disumbat ke dalam beg berwarna biru sebelum diletakkan di atas tong sampah yang dipenuhi dengan sisa tulang ayam.

Mayat bayi yang masih berdarah itu turut dimasukkan ke dalam beg bersama urinya. Ia dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh beberapa jam sebelum ditemui oleh seorang pengutip sampah yang mencari sisa barangan terpakai di kawasan itu.

Orang ramai yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mereka dikejutkan dengan jeritan seorang wanita yang berulang kali menyebut ‘bayi’ sebelum berlari meninggalkan tong sampah terbabit.

“Tindakan wanita itu menarik perhatian orang ramai yang bertindak menghubungi pihak polis. Kami memang biasa melihat wanita tua itu mencari sisa barangan di tong-tong sampah belakang premis ini setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, anggota yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian dan menemui bayi yang masih berdarah. Menurutnya, buat masa ini, polis belum dapat memastikan sama ada bayi berkenaan mati akibat dibuang ke dalam tong sampah atau ketika dia dilahirkan.

“Kita belum dapat mengenal pasti bangsa bayi, bagaimanapun mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan dengan melakukan pemeriksaan rapi di setiap hospital dan klinik berhampiran bagi mengesan individu yang terlibat. Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi di talian 05-245 1500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kali terakhir kes buang bayi dilaporkan berlaku di Perak pada 23 November 2011 lalu dengan penemuan mayat bayi tidak cukup bulan dalam keadaan berulat dalam sebuah beg plastik yang ditinggalkan di tepi Jalan Datuk Ahmad Said, Pusat Perniagaan Greentown.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib