Thursday, 24 January 2013

Mamat Khalid Nafi Muflis

Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, 50, menafikan dakwaan dirinya muflis selepas syarikat produksi miliknya, Naga VXS ‘lingkup’ dua tahun lalu yang mengakibatkan dia terpaksa pulang ke kampung halaman di Ipoh, Perak.
Katanya, dia tidak muflis seperti digembar-gemburkan sebaliknya mengakui syarikat lama ditutup selepas berhadapan masalah yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, penutupan syarikat dibuat selepas kata sepakat diambil bersama ahli keluarga yang bersama-sama menguruskan produksi itu.
“Sejurus perniagaan ditutup, kami memulakan langkah baru dengan mewujudkan syarikat dinamakan Enjit Semut Production,” katanya memaklumkan produksi itu beroperasi tahun lalu dan berpangkalan di Ipoh.
Katanya, operasi produksi itu milik keluarga dan mereka bersama-sama memainkan peranan menghasilkan filem terbaru.
“Antara sebab produksi lama ditutup kerana kami melalui banyak kesulitan termasuk salah pengurusan,” katanya. Dia turut menolak tuduhan kegagalan bersama produksi lama bukan disebabkan penganiayaan atau diperdaya.
“Dalam soal ini, ia bukan sebab ditipu, tetapi kerana salah pengurusan,” katanya menyifatkan tuduhan itu tidak berasas sama sekali.
Katanya, dia mengharapkan sinar baru dengan penubuhan produksi terbabit tambahan pula hampir tiga tahun menyepi tanpa filem.
Dia berkata demikian selepas pelancaran filem terbaru, Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit di GSC Midvalley, di sini, kelmarin.
Katanya, selain filem itu, antara karya lain yang akan ditayangkan tahun ini adalah filem Rock Ooo, Apokalips, Zombie Kilang Biskut dan Rentaz. Ditanya sasaran, Mamat berharap kutipan terhadap filem Hantu Kak Limah 2 dapat menyaingi Hantu Kak Limah Balik Rumah dengan perolehan RM7.9 juta.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib