Tuesday, 1 January 2013

Luis Suarez kembali prestasi hebat (gambar & video)


Penyerang Luis Suarez kembali menghidupkan peluang Liverpool yang mempamerkan aksi tidak konsisten dalam kempen Liga Perdana Inggeris, setelah menumpaskan Queens Park Rangers (QPR) 3-0 kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, bintang Uruguay itu mempamerkan aksi yang cukup bijak dan sukar diramal oleh barisan pertahanan lawan.

Pemain berusia 25 tahun itu, meledakkan gol pembukaan pada minit ke-16 apabila melakukan gerakan solo untuk membolosi gawang pasukan tuan rumah. Kelemahan pertahanan QPR dihukum lagi apabila Suarez merembat kencang untuk jaringan kedua selang enam minit selepas itu.

Kualiti yang dimiliki Suarez merupakan alasan utama Liverpool sanggup mengeluarkan perbelanjaan melebihi 22 juta pound (RM108 juta) bagi mendapatkan khidmatnya dan QPR tidak mampu menyekat pemain itu.
Bagaimanapun, di sebalik lakaran kejayaan yang dicipta Suarez sejak dia tiba dari Ajax Amsterdam pada Januari 2011, pemain Amerika Selatan itu juga tidak kering dengan cerita kontroversi.

Suarez digantung lapan perlawanan dan didenda 40,000 pound (RM197,719) kerana mengeluarkan kata-kata berbau perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra tahun lalu dan selepas itu, dia enggan berjabat tangan dengan pertahanan Perancis itu sebelum perlawanan di Old Trafford yang mencetuskan kontroversi.

Ayam tambatan Reds itu turut terbabit dalam satu lagi kontroversi apabila dia menunjukkan isyarat tangan yang bertujuan mencemuh di Fulham, sebelum reputasi Suarez yang gemar merebahkan badannya dalam kotak penalti menjadi pertikaian.

Tujuh gol dalam 12 penampilan sejak musim bermula November lalu, bagaimanapun, menjadi peringatan bahawa Suarez merupakan pemain yang amat berpengaruh untuk Liverpool dalam usaha kelab itu memburu tempat Liga Juara-Juara musim depan. Kapten kelab, Steven Gerrard sejak dari awal lagi mempertahankan Suarez dan selepas dua gol yang diledakkan di Loftus Road, pujian terhadap penyerang itu semakin melambung tinggi.

"Dia seorang ahli silap mata. Dia pemain yang bijak sejak menyertai kelab. Pemain-pemain ini (QPR) hanya perlu berdepan dengannya hanya dua kali setahun - kami pula menjalani latihan setiap hari bersamanya. Dari minggu ke minggu, dia membuktikan nilai dirinya," kata kapten England itu kepada Sky Sports.
Sebagai sebuah pasukan, Liverpool mungkin sedang bergelut dengan aksi yang tidak konsisten, tetapi masalah itu tidak berlaku ke atas Suarez.

Kemampuannya membantu pasukan pada saat-saat penting sememangnya tidak boleh dipertikaikan dan rekod jaringan yang dilakar sudah cukup membuktikan Suarez kini pada prestasi terbaiknya. "Luis Suarez seorang pemain yang hebat. Dia pemain yang handal. Dia mampu mencipta peluang untuk dirinya sendiri dan menyudahkannya sendiri," kata penolong pengurus Liverpool, Colin Pascoe.- REUTERS


0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib