Sunday, 13 January 2013

Larikan Diri Lepas Rempuh Motor Polis Di Johor


Seorang lelaki yang merempuh seorang anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Jalan Desa Jaya, Taman Desa Jaya di sini, bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan dipandunya dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.
Difahamkan, lelaki itu memecut bagi mengelak diperiksa anggota polis sebelum kenderaan bernombor pendaftaran Singapura berwarna putih itu terbabas ke longkang berhampiran Masjid Al-Falah di Taman Desa Jaya di sini. Dalam kejadian itu, anggota polis yang dilanggar lelaki berkenaan hanya cedera ringan.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila lelaki itu cuba membuat pusingan U di depan masjid berkenaan sebelum terbabas di bahagian kiri lalu memasuki longkang.
Seorang saksi, Rasdan Raob, 42, berkata, dia yang menggunakan laluan itu untuk membeli makan tengah hari melihat kereta itu dikejar polis URB.
“Kereta itu yang dipandu laju tiba-tiba hilang kawalan hingga terbabas.
“Kami juga melihat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an sempat keluar dari kereta itu dan melarikan diri,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dr Hashim Haron ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Menurutnya, dalam kejadian itu, seorang anggotanya cedera ringan di bahagian siku tangan kanan kerana dilanggar kereta berkenaan.
Katanya, ketika itu polis tidak mengadakan sekatan jalan sebaliknya hanya rondaan biasa dan cuba menahannya bagi membantu siasatan. “Suspek itu masih belum dikenal pasti dan berjaya melarikan diri,” katanya.
Hashim berkata, pihaknya tidak tahu motif sebenar lelaki itu melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya. “Kami kini giat memburu lelaki berkenaan untuk menjalankan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana langgar lari,” katanya.
Berikutan itu, katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib