Monday, 28 January 2013

Kes Zhen Zhong Disiasat Jika Ada Unsur Dera


Polis akan memanggil ibu bapa William Yau Zhen Zhong, bagi membantu siasatan berhubung kononnya terdapat unsur penderaan ke atas anak mereka.

Yau Kok Kang, 32 dan isterinya Goh Ying Ying, 26, akan dipanggil Polis Daerah Subang Jaya, sebaik keputusan DNA bagi mengesahkan identiti mayat budak lelaki berusia enam tahun yang dijangka dikeluarkan hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata pihaknya perlu menyiasat ibu bapa mangsa selepas menerima maklumat mangsa dikatakan mengalami gangguan fizikal dan mental serta masalah tekanan kerana sering dipukul dan dimarahi ibu bapanya.

“Berdasarkan laporan yang diperoleh, pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dari semua aspek termasuk menyoal ibu dan bapa secara berasingan serta mendapatkan maklumat daripada adik-beradik mangsa, saudara mara, jiran dan juga kenalan mereka.

“Kita akan memanggil mereka sebaik pihak forensik dan Jabatan Kimia mengesahkan mayat yang ditemui tersangkut pada bot di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, adalah mayat Zhen Zhong, dan siasatan akan dilakukan sejurus selepas itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, meskipun dalam laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, mendapati punca kematian mangsa bukannya berpunca daripada penderaan namun siasatan tetap akan dibuat.
Selain itu, katanya, ibu bapa mangsa juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan kesalahan cuai hingga menyebabkan kehilangan anak.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahaya berkata, pihaknya menemui satu saluran longkang kira-kira 200 meter dari lokasi yang Zhen Zhong dilaporkan hilang di hadapan sebuah kedai elektrik di Putra Heights, Subang Jaya, pada malam 16 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan dengan dibantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, semalam (kelmarin) berkemungkinan mangsa terjatuh dalam longkang itu sebelum dihanyutkan arus air terus ke dalam Sungai Klang.

“Kemungkinan itu berdasarkan tiada sebarang sekatan atau perangkap yang dipasang dalam saluran berkenaan kecuali tiga perangkap sampah yang dipasang di sepanjang Sungai Klang.

“Kemungkinan mayat Zhen Zhong boleh melepasi ketiga-tiga perangkap itu adalah disebabkan keadaan tubuh fizikalnya yang berat sehingga membolehkannya tenggelam dan melepasi perangkap berkenaan, ” katanya.

Sehingga hari ini, rekod semakan polis mendapati sejumlah 15 mayat ditemui dihanyutkan hingga ke Pelabuhan Klang yang dipercayai dihanyutkan dari sekitar Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib