Thursday, 10 January 2013

Kelantan Tersenyum, ATM Berduka

KELANTAN memulakan kempen Liga Super 2013 dengan langkah kanan apabila menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Zairul Fitri menjadi wira pasukan The Red Warriors apabila menjaringkan gol pada babak akhir perlawanan sekali gus membantu pasukannya mengutip tiga mata penting dalam perlawanan sulung malam ini.

Dalam perlawanan tersebut, Kelantan yang membariskan beberapa pemain kebangsaan melancarkan percubaan namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan pelawat.

Kelantan sekali lagi memiliki peluang keemasan menghasilkan jaringan pada babal awal perlawanan menerusi Indra Putra, tetapi rembatannya sekadar terkena tiang gol.

Susulan serangan itu, PKNS melakukan serangan balas dan akhirnya jaringan awal yang dicari pasukan pelawat tiba apabila kapten PKNS, Helmi Remeli menjaringkan gol menerusi percubaan cantik ke gawang lawan.

Kelantan yang beraksi di halaman sendiri masih tidak putus asa dan percubaan demi percubaan, gol penyamaan tuan rumah berhasil apabila lencongan Badhri Radzi menerusi hantaran cantik Haris Safwan berjaya membolosi gawang pada minit ke-18.

Di babak kedua, tempo permainan agak pantas dan kedua pasukan saling mengasak dan berbalas serangan.

Pemain import baru Kelantan, Keita Modju sekali lagi gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila peluang di depan gol untuk menjaringkan gol kedua terus gagal dilaksanakan dengan baik.

Begitu pun, suasana stadium yang dihadiri kira-kira 15,000 penonton  bergema seketika apabila Zairul Fitri menjaringkan gol pada minit ke-93 sekali gus gol kemenangan buat Kelantan.

Bagi Kelantan, kemenangan ini pasti menyenangkan Bojan Hodak yang mahu mencatat keputusan positif saingan pembukaan di laman sendiri musim ini.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal meneruskan rentak kecemerlangan apabila tewas 0-1 kepada Lions XII di Stadium Tunku Abdul Rahman.

Shahril Ishak menjadi wira pasukan pelawat apabila mudah menewaskan penjaga gol ATM pada minit ke-66  untuk gol tunggal perlawanan sekali gus menyekat impian ATM untuk meraih tiga mata di halaman sendiri.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib