Tuesday, 8 January 2013

Kelantan Tekad Bangkit

Skuad Kelantan 2013

SELEPAS memulakan kempen 2013 dengan agak hambar selepas tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan merebut Piala Sumbangsih, Sabtu lalu, Kelantan nekad mahu mencari kemenangan pertama musim ini apabila dijadualkan berdepan PKNS FC di Kota Bharu malam esok.
Ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi memberitahu, dia dan rakan-rakan tidak mempunyai pilihan kecuali mendapatkan tiga mata penuh pada aksi di gelanggang sendiri untuk mendapatkan momentum selain menebus kekecewaan peminat.
Menurutnya, kekalahan kepada ATM tidak memberikan kesan dan melunturkan semangat para pemain dan menganggapnya sebagai nasib tidak menyebelahi The Red Warriors biarpun banyak peluang dicipta, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.
"Kita cukup serius dan bersedia untuk turun menentang PKNS malam Rabu ini. Saya cukup optimis kita mampu untuk memenangi perlawanan tersebut dan perlu mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad IV sejak tahun lalu.
"Bagaimanapun, menentang PKNS bukan tugas mudah. Mereka memiliki pemain berbakat, malah musim lalu kita hanya mencatat keputusan seri di sini (Kota Bharu). Saya fikir kita perlu mendapatkan kemenangan dalam perlawanan pertama ini sebagai suntikan semangat," katanya ketika dihubungi semalam.
Aksi Menentang ATM sabtu lalu
Tambahnya, PKNS berjaya mendapat khidmat bintang import Sime Darby musim lalu, Patrick Ronaldinho selain diperkuat seorang lagi pemain import, Helmi Loiseaif yang perlu dirantai pergerakan kerana kedua-dua mereka mampu memusnahkan impian pasukan.
Dalam pada itu, jeneral padang The Red Warriors itu berharap penggempur import mereka dari Guinea, Keita Mandjou mampu menemui sentuhan untuk menajamkan lagi jentera hadapan pasukannya dan menggunakan peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol.
Dia mengakui bahawa Kelantan kini berdepan sedikit masalah di posisi penyerang, namun percaya ia bukan suatu masalah yang besar dan mampu diatasi dalam sedikit masa lagi selepas para pemain mula merasai kehangatan cabaran Liga Super musim ini.
"Keita (Mandjou) seorang penyerang yang bagus tetapi penyudahnya belum begitu sempurna dan dia juga belum berada pada tahap terbaik.
"Sekiranya dia menggunakan peluang yang ada, saya fikir keputusan saingan Piala Sumbangsih mungkin berbeza dan kita mampu menjaringkan lebih banyak gol.
"Jadi, saya berharap dia mampu membuktikan sesuatu pada perlawanan pertama di Kota Bharu. Kita juga kembali mendapatkan khidmat Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol manakala benteng pertahanan kita juga sudah semakin baik," ujarnya.
Sementara itu, Badri berpandangan bahawa Kelantan lebih sesuai beraksi dengan formasi 4-4-2 berbanding formasi 4-3-3 yang digunakan semasa tewas menentang ATM, Sabtu lalu dengan menggunakan khidmat Keita Mandjou sebagai penyerang tunggal.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib