Saturday, 5 January 2013

Juara Piala Sumbangsih 2013 Diketahui Malam Ini


Tiada riak terlalu yakin yang terpancar pada wajah dua jurulatih, Bojan Hodak (Kelantan) dan B. Sathianathan (ATM) menjelang Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ditambah dengan nasib kedua-dua pasukan dilihat hampir serupa, kehilangan ramai pemain utama sehingga menjejaskan kekuatan keseluruhan, Bojan dan Sathia hanya berharap pasukan mereka mampu mempamerkan aksi terbaik bagi memulakan tahun 2013 dengan positif.

Bojan yang merupakan jurulatih serta merangkap pengurus pada musim ini, mengakui 2013 akan menjadi tahun paling mencabar kerana kehilangan enam pemain penyerang di samping perlu memikirkan corak permainan terbaru kepada pasukannya.

''Musim ini mencabar buat kami kerana kehilangan enam penyerang iaitu Norshahrul (Idlan Talaha), Mohammed Ghaddar, Nurul Azwan Roya, S. Chanturu dan Azlan Ismail serta mendapat pengganti yang mungkin berbeza dari segi tahap kekuatannya.

''Kami tidak boleh mengamalkan sistem permainan yang sama seperti musim lepas dan perubahan terpaksa saya lakukan bagi faktor penyesuaian kepada pemain baru.

''Saya menghormati ATM biarpun di atas kertas, mungkin nampak tidak begitu kuat setelah tiga pemain utama mereka luar tetapi dengan adanya pengganti, mereka masih dilihat antara pencabar utama dan mampu mengejutkan kami pada perlawanan itu nanti, " katanya pada sidang media mesyuarat pengurus di Wisma FAM, semalam.

Bagi Sathianathan, dia tidak memikirkan soal dendam selepas kalah pada saingan Piala Malaysia tahun lalu kerana apa yang mahu difikirkannya adalah prestasi pasukannya serta mampu memberikan satu persembahan terbaik pada perlawanan hari ini.

''Kami cukup bersemangat kerana ini tahun pertama ATM beraksi dalam Liga Super dan saya mahu memulakan saingan dengan lebih positif, bukan dendam menjadi perkara utama.

''Marlon Alex James tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun dia sudah menjalani latihan, saya tidak mahu mengambil risiko, jika diturunkan mungkin sebagai pemain gantian, " katanya.
Sementara itu, Bojan mungkin menurunkan Muhammad Syazwan Yusoff sebagai penjaga gol malam ini berbanding Norhadi Ubaidillah ekoran persembahan cemerlang pada perlawanan persahabatan.
''Saya nampak Syazwan lebih berkeyakinan pada aksi persahabatan yang membuatkan saya menurunkannya pada perlawanan sumbangsih nanti.

''Malahan, pada satu masa dia sebenarnya pernah berada di belakang Khairul Fahmi Che Mat sebagai penjaga gol nombor dua pada musim lalu mengatasi Shahrizan Ismail, " katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib