Thursday, 24 January 2013

Johor DT Mahu Cari Mangsa Seterusnya

Johor Darul Takzim mula mempamerkan taring sebenar pada perlawanan kelima Liga Super bertemu PKNS apabila menang 3-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Tiga gol berkualiti melalui gerakan yang direncanakan oleh dua penyerang berbisa, Daniel Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha menandakan Harimau Selatan sudah bersedia mempamerkan perwatakan sebenar dalam perlawanan berikutnya.

Jurulatihnya, Fandi Ahmad berpuas hati kerana bukan sahaja berjaya mencatat kemenangan tetapi anak-anak buahnya mula mempamerkan rentak permainan yang menyakinkan.

"Saya gembira dengan kemenangan ini, yang mana kami berjaya mengutip tiga mata penuh walaupun pada separuh masa pertama kami agak panik.

"Para pemain berjaya mengubah rentak dan pemain bertindak lebih kreatif serta mendominasi aksi di babak kedua.

"Saya faham tekanan diberikan kepada pasukan ini terlalu tinggi, namun para pemain dilihat mula mempamerkan perwatakan sebenar di atas padang dalam perlawanan malam ini, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Fandi turut memuji penyerang negara, Safee Sali, yang menemui sentuhan jaringan bersama pasukan barunya.

"Saya gembira melihat Safee akhirnya dapat menjaringkan gol pertama dan ini semua kerana kerja keras yang dia tunjukkan dalam perlawanan serta sesi latihan.

"Saya harap dia dapat teruskan prestasi sebegini pada perlawanan seterusnya dan menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu kejayaan pasukan, " katanya.

Selain Safee Sali yang meledak pada minit ke-18, dua lagi jaringan Johor Darul Takzim disumbangkan Ahmad Ezrie Shafizie dan Guiza pada minit ke-61 serta ke-87 manakala jaringan saguhati PKNS dicipta Mohd Faiz. Mohd Isa pada minit terakhir permainan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib