Wednesday, 23 January 2013

Johor DT Belasah PKNS


JOHOR Darul Takzim (DT) menepati ramalan apabila mudah menundukkan cabaran Selangor PKNS selepas merakamkan kemenangan 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Tiga gol skuad Harimau Selatan itu dijaringkan oleh Safee Sali, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali dan penyerang import sensasi, Daniel Guiza manakala pemain pertahanan PKNS, Mohd. Faiz Mohd. Isa meledak gol sagu hati pasukannya.
Johor DT tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi tandukan Safee yang menerima hantaran lintang Guiza pada minit ke-18.
Skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu yang tampil dengan persembahan bertenaga, hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-35 hasil gerakan solo Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha, namun sepakannya terkeluar daripada sasaran.
Johor DT dilihat semakin garang apabila sering melakukan asakan ke gawang lawan, namun penyudah yang kurang berkesan menafikan mereka untuk menambah jaringan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung pada babak kedua, usaha skuad kendalian Fandi Ahmad untuk mengukuhkan kedudu- kan akhirnya berhasil apabila Ahmad Ezrie menjaringkan gol kedua pada minit ke-61.
PKNS kembali bangkit mengatur serangan, namun setiap percubaan mereka mudah dihalang pertahanan Johor DT.
Ketika pasukan berstatus kelab itu terdesak untuk mengurangkan jurang jaringan, Guiza memastikan Harimau Selatan meraih kemenangan bergaya dengan meledak gol ketiga Johor DT pada minit ke-87.
PKNS yang tampil dengan semangat juang tinggi akhirnya berjaya membolosi gawang Johor DT menerusi jaringan Mohd. Faiz pada masa kecederaan, namun keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad mengakui yang kemenangan itu dilihat bakal memberikan suntikan moral buat pemainnya untuk menampilkan aksi lebih bertenaga pada perlawanan akan datang.
"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini yang akan menjadi pencetus semangat kepada semua pemain untuk meraih lebih banyak kemenangan selepas ini," katanya.
Menurutnya, barisan pemain Johor DT sudah mula memperli- hatkan keserasian serta keyakinan diri yang tinggi.
Sementara itu, jurulatih PKNS, Abdul Rahman berkata: "Perlawanan yang cukup sengit tetapi pemain PKNS tidak dapat meningkat prestasi kepada tahap yang lebih baik bagi mengatasi lawan."
Sementara itu, pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam liga selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Felda United.
Pendahulu liga, Pahang terus garang apabila mengecewakan Terengganu 3-0 pada aksi yang berlangsung Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Perak pula seri 1-1 dengan Selangor pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lumut, Perak.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib