Tuesday, 8 January 2013

Johor Darul Takzim azam rebut 3 mata


Tumpuan pasti terarah kepada corak permainan taktikal Johor Darul Takzim yang akan memulakan aksi tatkala memiliki deretan barisan pemain berstatus bintang apabila berdepan Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Apapun skuad kendalian Fandi Ahmad yang mendapat jolokan Harimau Selatan terpaksa melupakan khidmat pemain import, Simone Del Nero yang masih belum pulih dari kecederaan dan mungkin tidak akan tersenarai dalam skuad itu pada perlawanan menentang skuad Tok Gajah. 
Bagaimanapun, Fandi tidak cemas tanpa kelibat bekas pemain Serie A yang beraksi untuk kelab Lazio itu selepas sudah ada pengganti menggalas tugas di posisi tengah dan bakal menggunakan kelibat Mohd Zaquan Adha Abd Radzak di posisi sayap kiri sambil membantu Safiq Rahim selaku penjana jentera tengah. 

Simone semakin pulih daripada kecederaan dan boleh diturunkan tetapi saya tidak mahu ambil risiko sebaliknya mahu dia cergas sepenuhnya bagi memastikan khidmatnya dapat digunakan pada aksi kedua menentang Perak, Jumaat ini.

Siapa bakal beraksi di posisi penjaga gol, saya belum putuskan lagi kerana Zamir Selamat dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah menunjukkan peningkatan mendadak dan saya perlu bincang dengan jurulatih penjaga gol, Khairul Azman. Barisan serangan akan diterajui kemungkinan tiga rangkaian serangan iaitu Daniel Guiza, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali namun mungkin akan berlaku perubahan formasi berdasarkan corak taktikal paling sesuai, katanya.

Apapun, Fandi tidak berselindung betapa debaran menempuh aksi pertama liga elit domestik cukup meresahkan tetapi yakin kesebelasan utama yang bakal diturunkan akan memberi persembahan terbaik dan tidak melakukan kesilapan mudah bagi mengelak dipalit kedukaan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib