Monday, 14 January 2013

Irfan Bakti mahu Selangor belajar dari kesilapan


 Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menganggap kekalahan 1-0 ke atas Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, kelmarin sebagai perlawanan yang tidak memihak kepada Red Giants walaupun di awal babak pertama jelas menguasai perlawanan. 

Katanya, Lions XII memiliki sedikit kelebihan berbanding Selangor dan pasukan bimbingan V Sundramoorthy itu mengekalkan disiplin tinggi dengan corak permainan pantas dan bingkas menutup ruang menyukarkan pemain Selangor untuk menyamakan jaringan. 

“Pasukan lawan bagus sedikit daripada kami, gol yang terhasil oleh Lions XII nasib semata-mata apabila pemain pertahanan Selangor agak leka dan tidak mengawal Fazrul Nawaz. Apa yang saya boleh nilaikan pasukan Lions XII musim lalu lebih mantap berbanding musim ini namun mereka mengamalkan disiplin tinggi. 

“Siapa yang tidak kecewa terutama kita gagal membawa pulang mata tetapi itu bukan penyudah kerana perlawanan liga masih panjang. Kita ada 20 perlawanan lagi dan saya yakin Selangor akan bangkit dan memberi persembahan baik sepanjang saingan liga. 

“Mungkin ada pihak yang kecewa dengan corak permainan Francis Forky Doe tetapi kita tidak boleh terus menghukumnya kerana terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar beliau. 

“Saya tetap beri masa kepadanya namun beliau harus bangkit pada aksi seterusnya kerana berstatus selaku penjaring terbanyak musim lalu seharusnya tidak timbul masalah menjaringkan gol,” kata Irfan pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Jalan Besar, kelmarin.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib