Tuesday, 8 January 2013

Impian penculik joli Rm30 juta tersekat

Gambar Hiasan

Empat penjenayah tidak sempat merasai wang tebusan RM30 juta yang diminta daripada keluarga seorang wanita diculik apabila dua daripada mereka maut ditembak anggota polis malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, sepasukan polis khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim mengesan lokasi mangsa disembunyikan di sebuah bangunan lama menjual getah di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping, di sini. Difahamkan, suspek sebelum ini menculik mangsa berusia 52 tahun dan meminta wang tebusan RM30 juta daripada ahli keluarga mangsa yang menjalankan perniagaan di negeri ini.

Mangsa yang dikurung selama 12 hari diselamatkan selepas lokasi itu dijejaki polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa diculik di depan rumahnya di Taiping pada 26 Disember lalu oleh sekumpulan penjenayah.

Berikutan itu, menurutnya, pihaknya segera membentuk satu unit khas diselaras Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A Paramasivam, sejurus menerima laporan kehilangan mangsa.

"Kami mengambil pendekatan berhati-hati ketika siasatan dan risikan dijalankan terutama bagi memastikan mangsa tidak cedera. "Ketika polis menghampiri lokasi persembunyian itu, dua suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis menyebabkan polis membalas tembakan," katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Susulan itu, dua suspek itu mati ditembak polis.
Gambar Hiasan

"Pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui sepucuk pistol automatik model Walther.22; sebutir peluru hidup; tiga kelongsong peluru; sepucuk pistol mainan jenis Penthum dan 44 biji bebola besi.
"Anggota polis turut menemui dua pasang gari; satu topeng muka; sepasang sarung tangan kain; tiga sarung kaki wanita; satu bahan bacaan berbahasa Cina dan makanan ringan," katanya.

Shukri berkata, kedua-dua suspek yang ditembak mati itu dikenali sebagai Low Wei Yuan, 42, dari Jalan Puchong, Selangor dan Lim Chun Cheit, 35, dari Kangar, Perlis.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib