Tuesday, 29 January 2013

Honda Jazz Ditembusi Tiang Elektrik


Tiga bersaudara cedera apabila sebatang tiang elektrik yang patah menembusi kereta yang mereka naiki di Kilometer 94.5 Jalan Ipoh-Butterworth di Selinsing dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, kereta Honda Jazz dipandu Muhamad Rizal Supero, 46, dikatakan cuba mengelak seekor haiwan yang melintas secara tiba-tiba terbabas dan merempuh sebatang tiang elektrik di kanan jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Kurau untuk memancing.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata kenderaan itu kemudian terbabas ke parit, manakala tiang elektrik dirempuh patah sehingga mengakibatkan kabel elektrik merintangi jalan raya.

“Sebuah treler datang merempuh kabel yang melintang di tengah jalan itu mengakibatkan tiang yang patah tercabut sebelum menusuk ke bahagian depan tempat duduk pemandu Honda Jazz.

“Bagaimanapun, pemandu kereta bersama dua lagi saudaranya terselamat dan hanya cedera ringan di muka dan badan,” katanya di sini semalam.
Fauzi berkata, berdasarkan kesan kemalangan itu, polis sendiri tidak menyangka semua mangsa hanya cedera ringan dan menganggapnya sebagai keajaiban Tuhan.

“Saya meminta pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam dan awal pagi selain tidak memandu secara melulu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib