Tuesday, 1 January 2013

Hamidin : Hanya Presiden, SU Kehormat boleh jawab desakan FAM dirombak

SEJAK desakan supaya rombakan besar-besaran dilakukan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk meminta presiden, Sultan Ahmad Shah meletak jawatan oleh sekumpulan penyokong Jumaat lalu, hingga kini masih tiada sebarang maklum balas dibuat badan induk bola sepak tanah air itu.
Suara hati penyokong yang menggelarkan diri mereka ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan’ (PFSLJ) itu seakan dipandang sepi kepimpinan FAM biarpun gerakan itu sebenarnya sudah bergerak aktif sejak 2009 lagi.

Persoalan itu bagaimanapun diajukan kepada Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin namun beliau buat masa ini enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Bukan saya tidak mahu beri kenyataan, bagi saya biarlah kenyataan ini dibuat Presiden Sultan Ahmad Shah dan juga Setiausaha Agung (Datuk Azzuddin Ahmad).

“Datuk Azzuddin sekarang masih bercuti di luar negara, saya pasti apabila kembali, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini,” katanya.

Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM berkata demikian ketika ditanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Sumbangsih 2013 semalam.
Perlawanan pembuka tirai bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu bakal mempertemukan juara trebel, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabtu ini di Stadium Shah Alam.
Wakil Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)
Jumaat lalu, wakil PFSLJ, Alfadli Awaluddin tampil bersuara meminta Sultan Ahmad Shah mengundurkan diri secara terhormat selepas 28 tahun menerajui FAM bagi memberi laluan kepada individu lain untuk mencurahkan idea baru.
Menurut Alfadli, tindakan mereka itu bukan berniat untuk bersikap biadap mahupun menderhaka sebaliknya hanya mahu melihat kemajuan bola sepak tanah air yang masih di takuk lama.

Cetusan rasa tidak puas hati itu tidak boleh dibendung lagi berikutan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 serta kedudukan Liga Malaysia masih di kategori D sedangkan sudah mencapai status profesional pada 1993.

Sementara itu, Hamidin mengumumkan tiket menyaksikan Perlawanan Sumbangsih berharga RM20 bagi dewasa akan mula dijual Jumaat ini dengan anggaran awal lebih 40,000 penyokong akan menyaksikan aksi pembuka tirai Liga M musim 2013 itu.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib