Sunday, 27 January 2013

Elfira Loy Bukan Kekasih Zizan Razak


NAMA Zizan sedang beraja di hati khalayak. Baik penampilannya sebagai pengacara program atau persembahan mahu pun aksinya dalam status sebagai pelawak, humor Zizan pantas disukai ramai.
Baru sahaja memenangi tangga juara pertandingan Maharaja Lawak Mega yang berlangsung minggu lalu, kemenangan itu mengizinkan Zizan dan rakan sepasukannya, Johan membawa pulang kejuaraan berharga RM500,000.
Terdahulu Zizan juga pernah dinobatkan juara Super Spontan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry.
Solo, semakin stabil dengan perjalanan karier dan nama sedang mengharum, pasti gosip-gosip cinta menghampiri jejaka yang berasal dari Terengganu itu.
Namun apabila diterjah dengan soalan-soalan bersifat sedikit peribadi, Zizan dalam nada serius mahu mengelak cerita cinta daripada keluar terlalu kerap ditatap peminat.
Terbaharu, dia dikaitkan dengan aktres cantik Elfira Loy. Mengaku hanya rakan biasa, Zizan meminta cerita ini tidak diperpanjangkan.
Apa aktiviti terkini Zizan ?
ZIZAN: Saya akan ke Australia malam ini (Jumaat) untuk sesi penggambaran majalah. Di sana selama lima hari. Kemudian saya akan ke London pula untuk sesi penggambaran bersama pihak penaja. Itu akan berlangsung selama dua minggu.
Dengarnya Zizan ada menaruh hati terhadap Elfira Loy?
Kami kawan biasa-biasa sahaja.
Mata-mata memberitahu, Zizan menonton teater Ali Baba di Istana Budaya untuk melihat Elfira. Khabarnya, ibu Zizan juga bersama.
Tak adalah bawa. Saya dapat tiket daripada pengurus. Saya pergi ke sana untuk melepaskan tekanan sewaktu terlibat dengan program Maharaja Lawak Mega. Saya pergi dengan Kaka. Kebetulan Kaka memang baik dengan El (Elfira) sebab mereka sama-sama terlibat dalam program Fear Factor.
Sejauh mana khabar angin mengaitkan Zizan dan Elfira?
Tidak ada kena mengena. Ini bukan perkara besar pun. Kami kawan sahaja dan tidak ada ke arah lain. Tidak payah tulislah tentang ini.
Sudah rimas dikaitkan dengan ramai wanita?
Saya takut jadi tak best. Sebelum ini pun orang kaitkan saya dengan Emma Maembong walhal kami satu bumbung pengurusan. Payah nanti orang cakap macam-macam. Kalau boleh saya nak mengelak cerita-cerita macam ini. Kalau boleh tidak payahlah tulis cerita-cerita macam ini.
Khalayak mahu tahu juga cerita-cerita Zizan.
Kalau boleh saya mahu mengelak cerita macam ini. Banyak lagi aktiviti yang saya lakukan. Saya pun tidak fikir ke arah itu. Susah pun ada. Terlampau banyak cerita-cerita gosip cinta ini. Saya mahu fokus dengan kerja. Saya pun ada hobi baharu iaitu bermain kereta kawalan jauh.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib