Tuesday, 29 January 2013

Eddy Chong Legenda Negara


KEMATIAN legenda sukan badminton negara, Datuk Eddy Choong satu lagi kehilangan besar buat negara kerana sumbangannya dalam sukan itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sedih dengan pemergian tokoh badminton itu, Ahmad Shabery berkata, impaknya sama seperti kehilangan seorang tokoh negara.

Beliau berkata, mendiang bukan sahaja seorang wira negara tetapi perlu diingati sebagai seorang legenda.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Eddy Choong.
                                           
"Negara kehilangan seorang tokoh sukan yang banyak berjasa kepada pembangunan sukan badminton dan merupakan contoh pemain badminton cemerlang. Meskipun telah kehilangan seorang legenda, tetapi Eddy akan sentiasa dikenang, dulu, kini dan selamanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Choong, 82, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Loy Guan Lye pada jam 3 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital itu seminggu lalu.

Tambah Ahmad Shabery, "Eddy (Choong) membawa banyak kemegahan dan kebanggaan kepada Malaysia."
"Wira tidak pernah mati, mereka bertukar menjadi legenda."
Selain itu, Ahmad Shabery turut menyifatkan mendiang bukan sahaja atlet hebat tetapi personaliti yang berjaya menerajui pembangunan badminton negara.

"Sumbangan mendiang sangat besar dalam pembangunan sukan badminton dan beliau telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang disegani dalam sukan berkenaan," katanya.
Walaupun sudah tiada, Ahmad Shabery berharap semangat Choong akan menjadi sumber inspirasi kepada peminat sukan dan dicontohi pemain badminton muda negara terutama Datuk Lee Chong Wei.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu pernah menjuarai kejohanan All England (acara perseorangan) sebanyak empat kali pada tahun 1953, 1954, 1956 dan 1957.

Dia juga pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada tahun 1957 dan 1960.
Choong turut tersenarai dalam ‘Badminton of Fame’ pada tahun 1997.

-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib