Sunday, 13 January 2013

Dua Lagi OKT Berjaya Ditangkap Polis


Polis malam tadi berjaya memberkas dua daripada lima orang kena tahan (OKT) yang diburu sejak Isnin lepas, setelah mereka meloloskan diri ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth.
Mohamad Farid Akhtar, 24, ditangkap ketika makan seorang diri di sebuah restoran di Kubang Semang manakala rakannya, Mohd. Shahrimy Mohd. Noor, 28, pula ditahan di satu kawasan tidak jauh dari situ kira-kira 30 minit kemudian.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kedua-dua penjenayah itu ditangkap hasil risikan dan maklumat awam.
“Susulan penangkapan suspek ini polis yakin dapat menahan tiga lagi rakannya dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi Isnin lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Kompleks Mahkamah Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis lalu.
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd. Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Boy atau Mohd. Noor Mustafa, 28.
Mereka yang masih diburu ialah Hamizani Harun, 37, Mohamad Khairul Nizam Abdul Rani, 25, dan Hisham Abdul Rahman, 39.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, seorang lagi OKT, Mohamad Khairul Nizam sempat melarikan diri ke kawasan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda, Kubang Semang.
Beliau berkata, ketika melarikan diri, dia dipercayai membawa bersama seorang remaja, Mohd. Khairul Anas Mohd. Fadli, 19, dan berkemungkinan dijadikan sebagai tebusan kerana lelaki itu turut membawa sebilah parang panjang bersamanya.
“OKT tersebut mempunyai rekod samun berkumpulan dan samun bersenjata. Dia juga melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik bapa remaja berkenaan,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, polis telah mengarahkan anggota Pasukan Gerakan Am memburu Mohamad Khairul Nizam di kawasan terbabit.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib