Wednesday, 23 January 2013

Butler Tepati Janji T-Team Dapat 3 Mata


PENGENDALI T-Team, Peter James Butler mengotakan janjinya untuk mengejutkan Lions XII dalam saingan liga Super.
Semalam, T-Team meraih kemenangan 1-0 ke atas wakil Singapura itu pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Gol kemenangan The Titans hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mohd. Badrul Hi- syam Morris pada minit ke-73.
Skuad kendalian Butler memperoleh sepakan penalti apabila salah seorang pertahanan Lions XII tertampan bola dalam petak penalti.
Butler memberitahu, anak-anak buahnya berhak memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan tersebut kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai permainan.
"Sudah pasti saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain pada perlawanan hari ini (semalam). Kita berhak memperoleh tiga mata penuh kerana para pemain telah menunjukkan persembahan yang lebih baik," ujarnya.
Mengulas mengenai penyerang import, Caleb Folan yang dikeluarkan pada babak kedua, Butler memberitahu, pemain itu mengalami kecederaan hamstring dalam perlawanan tersebut.
"Kalau saya mengetahui dia mengalami kecederaan, saya tidak akan menyenaraikan dalam kesebelasan utama tetapi Caleb tetap bersemangat untuk turun bagi membantu pasukan memusnahkan impian Lions XII.
"Kita pasti akan kembali lebih garang selepas ini dengan kehadiran semula George Boateng yang dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan," ujarnya.
Begitupun, Butler mengakui kecewa dengan persembahan Caleb sepanjang lima perlawanan dalam saingan Liga Super setakat ini meskipun dia mudah untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan yang diterapkan.
"Dia (Caleb) masih belum mempamerkan aksinya yang sebenar tetapi kami akan memberi dia masa untuk mengembalikan prestasi serta keyakinannya," katanya.
Beraksi di babak pertama perlawanan menyaksikan tuan rumah bermula dengan penuh semangat dan hampir berada di depan ekoran kelalaian penjaga gawang pelawat, namun dipersiakan penyerang, Abdul Latif Suhaimi seawal minit ke-7 perlawanan.
Empat minit selepas itu, usaha The Titans untuk mencari gol awal sekali lagi digagalkan pemain tengah, Mohd Aizulridzwan Razali apabila rembatan dari luar kotak penalti berjaya didakap kemas penjaga gol, Mohd Izwan Mehbob.
Tuan rumah yang berjaya menguasai hampir keseluruhan perlawanan babak pertama menyaksikan jentera serangan yang diketuai Caleb Folan dan Abdul Latif gagal menyempurnakan beberapa cubaan menarik di depan gol pelawat sehingga wisel penamat ditiup.
Bersambung dibabak kedua perlawanan, kem tuan rumah mula memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Fauzan Abdullah bagi menggantikan Caleb Folan dengan menampilkan corak permainan yang lebih agresif.
Begitupun pasukan Lions XII tidak kurang aksinya apabila jentera serangan skuad kendalian V Sundram Moorthy itu berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan tuan rumah, dan nyaris mendahului kedudukan menerusi sepakan Gabriel Quak pada minit ke-52 namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Amirul.
Tersentak dengan cubaan itu, pasukan tuan rumah segera bangkit melancarkan serangan balas dan keghairahan benteng pertahanan Lions XII dalam menepis asakan kem T-Team akhirnya terhukum apabila salah seorang pemainnya menampan bola dengan tangan di dalam kotak penalti, sehingga memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada The Titans.
Akhirnya kebuntuan tuan rumah dalam mencari gol direalisasikan pemain tengah, Mohd Badrul Hisham Moris apabila sepakan penalti yang diambilnya terus menerjah jaring, sekali gus menewaskan penjaga gawang pelawat, Mohd Izwan pada minit ke-74.
Gol tersebut nyata menyentap semangat juang pasukan Lions XII yang cuba bangkit pada minit-minit akhir permainan, namun ketumpulan jentera serangan mereka menggagalkan hasrat pasukan itu untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar.
Pada pertembungan itu, tiga kad kuning dilayangkan pengadil perlawanan, dua kepada pasukan T-Team ( Muhammad Hafizan dan Muhamad Naim) manakala satu kepada pemain Lion XII (Safirul Sulaiman).

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib