Sunday, 20 January 2013

Butler Mahu Pemain Bangkit

Ketiadaan beberapa tonggak utama dalam pasukan terus membelenggu pasukan berstatus kelab, T-Team apabila tumpas 0-3 di tangan Selangor PKNS, di Stadium Sultam Ismail Nasiruddin Shah, petang kelmarin.

Meskipun gagal bangkit meraih sebarang mata selepas tewas ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selasa lalu dengan jaring yang sama, namun pengendalinya, Peter Butler tetap berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan itu.

Butler yang juga pengurus T-Team mengaku berpuas hati dengan usaha ditunjukkan hampir kesemua pemain muda yang diturunkan menentang Selangor PKNS, walaupun tumpas dengan jaringan agak besar.

Malah jurulatih kelahiran England itu turut mengakui T-Team yang beraksi tanpa kapten pasukan, George Boateng dan dua jentera pertahanan (Nuraliff Zainal Abidin dan G Mahathevan), akibat kecederaan lutut menyebabkan mereka mengalami nasib yang sama di Stadium Paroi, baru-baru ini.

“Kami tiada pilihan melainkan terpaksa menurunkan Marzuki Yusof biarpun dia masih belum cergas 100 peratus bagi menggantikan Boateng dan beberapa pemain muda yang lain.

“Nasib baik Marzuki dapat bermain hampir sejam tanpa mengalami apa-apa masalah, kalau tidak bertambah malang nasib kami sebelum menerima kunjungan Lions XII, Selasa ini,”  katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan, kelmarin.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Terengganu itu tetap mengambil sikap profesional dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain, sebaliknya tekad memperbaiki setiap kelemahan yang ada untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

“Saya bertanggungjawab ke atas semua perlawanan sama ada pasukan menang mahu pun tewas walaupun ramai dalam kalangan pemain kita mengalami masalah kecederaan dan saya akan cuba memperkemaskan corak permainan dengan gandingan pemain sedia ada.

“Bagaimanapun saya berpuas hati dengan kemampuan mereka (pemain) yang bermain dengan bersungguh-sungguh seterusnya dapat mengawal lebih 70 peratus permainan, namun masih lagi belum cukup pengalaman sehingga melakukan kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.

Menurutnya, pada perlawanan itu, benteng pertahanan dilihat kurang konsisten dan sering melakukan beberapa kesilapan sehingga menyebabkan pihak lawan bijak mengatur serangan balas.

“Perkara ini biasa bagi saya apabila kita menggunakan pemain muda, beri kami sedikit masa untuk membuktikan kemampuan sebenar dengan corak permainan yang lebih baik,” katanya.
Bermain bola sepak ala Inggeris

Sementara itu pengendali kem pelawat, Abdul Rahman Ibrahim turut mengakui pasukan tuan rumah bukan sahaja bermain dengan baik malah boleh bermain bola sepak ala Inggeris yang menggunakan kesemua keluasan padang.

Menurutnya, pada perlawanan itu permainan agak sengit dan sukar kerana  ‘respond’ tuan rumah begitu baik dan dalam menyekat kemaraan jentera serangan namun pemain tuan rumah yang kurang pengalaman memberi ruang kepada kami untuk mengutip tiga mata.

“Alhamdulillah hari ini (kelmarin), pemain kita bermain dengan cekal setelah kita menang ke atas Lion XII, malah corak ‘defensive’ dan kejayaan Patrick Ronaldinho mengawal bola dengan baik kunci kejayaan kepada pasukan,” katanya.

                                                          
Pada pertembungan kelmarin, pasukan tuan rumah bermula dengan penuh semangat bagaimanapun jentera serangan T-Team menghadapi masalah untuk menembusi kubu pertahanan pelawat yang dikawal dengan baik.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan skuad The Titans dihukum seawal minit ke-14 apabila penyerang Selangor PKNS, Zamri Morshidi bijak menanduk masuk umpanan Mohd Fauzan Dzulkifli hasil sepakan sudut yang dilakukan Mohd Fadhil M Hisham.

Derita tuan rumah ditambah oleh penyerang import pelawat, Patrick Ronaldinho yang bijak menolak masuk jaringan kedua Selangor PKNS menerusi hantaran Zamri pada minit ke-31.

Gol itu nyata menyentap semangat juang skuad kendalian Peter Butler yang cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan namun digagalkan oleh tindakan penyudah jentera serangan mereka yang diterajui penyerang import, Caleb Folan.

Lebih perit apabila pemain gantian pelawat, Muhamad Fakrul Aiman berjaya memanfaatkan kesilapan penjaga gol tuan rumah, Mohd Amirul Abu Seman yang gagal menendang keluar bola daripada kawasan bahaya untuk gol ketiga pelawat pada minit ke-71.

T-Team yang cuba untuk bangkit pada minit-minit akhir permainan namun ketumpulan jentera serangan mereka menggagalkan hasrat pasukan tuan rumah untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol sebelum tamat perlawanan.

-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib