Saturday, 19 January 2013

Beruk liar mengamuk dI Melaka

Dua keluarga terpaksa bersembunyi dalam rumah lebih dua jam selepas seekor beruk liar mengamuk di atas bumbung rumah di Kampung Lekok, Masjid Tanah, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu disedari seorang ahli keluarga berkenaan, Zainudin Hussin, 43, ketika pulang dari kerja di sebuah kem di Ayer Keroh apabila melihat beruk betina berkenaan bertenggek atas bumbung.

Zainudin berkata, selepas melihat beruk betina dewasa itu menyeringai dia segera memberhentikan motosikalnya dan masuk ke dalam rumah kerana bimbang diserang haiwan liar itu.

“Sebaik menyedari beruk berkenaan di atas bumbung, saya terus masuk ke dalam rumah dan memaklumkan kepada adik ipar saya, Norazmi mat kassim (38), supaya jangan ada ahli keluarga yang keluar kerana bimbang diserang.

“Beberapa minit kemudian saya mendapati beberapa biji telur ayam yang berada di belakang rumah dipecahkan beruk betina itu yang kemudiannya naik semula ke bumbung,” katanya.

Zainudin berkata, dia memberanikan diri cuba mengusir beruk itu supaya turun semula dari bumbung rumah namun gagal apabila beruk berkenaan terus bertenggek walaupun sudah diberi makanan.

“Saya cuba mengumpan beruk betina itu dengan pisang namun, tidak diendahkan.

“Saya segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk bantuan kerana bimbang ia akan mencederakan kanak-kanak di luar rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.30 petang daripada penghuni rumah berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama tiga anggota lain.

“Setiba di tempat kejadian mendapati beruk berkenaan sedang bertenggek di atas bumbung sambil merenung ke arah orang yang berada di sekelilingnya dan cuba menyergah kerana merasakan dirinya sedang diancam.

“Dua anggota terpaksa memanjat bumbung rumah berkenaan dan mendekati beruk itu sambil cuba memberikan pisang.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk pujuk beruk betina itu dan berjaya ditangkap sebelum dilepaskan ke satu kawasan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib