Sunday, 20 January 2013

Annuar Musa Nasihat TMJ


“SAYA nasihatkan TMJ (Tunku Mahkota Johor) supaya jadi presiden (bola sepak negeri) serupa dengan presiden-presiden lain. Ada ramai presiden persatuan bola sepak di negara ini. Sama ada beliau, Wan, Nik, Datuk, Tengku, Raja atau Sultan sekalipun, mari kita ikut satu peraturan sahaja.”
Itu antara nasihat yang diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) semalam yang dianggap mencetuskan perkara-perkara ‘pelik’ yang membawa kegawatan dalam arena bola sepak negara masa ini.
Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang terbaru apabila pasukan Johor Darul Takzim yang dikatakan membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.
Bagaimanapun, PBNJ menjelaskan kelmarin bahawa pasukan tersebut bukan anggota GGK sebaliknya askar Timbalan Setia Negeri (TSN) atau Johor Military Force (JMF) yang ditugaskan untuk mengawal pergerakan kerabat Johor yang menghadiri majlis tertentu termasuk mana-mana acara sukan.
“Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal mengambil pemain menerusi ‘pintu belakang’, bawa masuk askar dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.
“Jadi nasihat saya sebagai orang tua kepadanya, apapun dia adalah rakan sejawat saya. Lupakan latar belakang kita, saya, Tan Sri dan beliau, Tunku.
“Saya mahu nasihat beliau dan beliau juga pernah menasihati saya. Tak usah bawa benda pelik-pelik dalam bola sepak negara. Buat seperti biasa sahaja. Bola sepak ini permainan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melor, Kota Bharu, Kelantan semalam.
Annuar mendedahkan bahawa beliau telah mengambil langkah keselamatan yang ‘luar biasa’ untuk memastikan penyokong-penyokong Johor dijaga dengan baik pada perlawanan, Selasa lalu antaranya memikirkan bagaimana hendak membawa masuk, keluar mereka serta meminta bantuan kelab penyokong rasmi bagi jaga pasukan pelawat.
“Saya tak pernah lagi menyusun urusan keselamatan pasukan pelawat seperti mana yang kami buat untuk Johor. Saya mahu dia faham mengenai perkara ini.
“Sepanjang jadi presiden KAFA, saya belum pernah mengambil tanggungjawab sendiri dan mengadakan perbincangan sendiri kerana memikirkan supaya penyokong-penyokong Johor dapat dijaga dengan baik. Sebelum ini, biasanya saya serahkan kepada bahagian pentadbiran.
“Dan saya tak pernah melibatkan kelab penyokong untuk menjaga pasukan pelawat. Ini kali pertama kami lakukan untuk Johor. Semuanya berjalan baik dan melalui perbincangan, jadi gambaran yang diberikan tidak tepat,” ujarnya.
Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim telah membawa masuk GGK di stadium sehingga menimbulkan polemik adakah stadium di Kota Bharu tidak selamat.
Permusuhan antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan hanya di atas padang kerana sebelum saingan liga bermula, kedua-dua pasukan sudah berbalah mengenai perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu yang didakwa KAFA sebagai salah.
Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat mendakwa tindakan Norshahrul tidak salah. FAM turut mendakwa tindakan membawa GGK tidak ada kesalahan.
Dalam pada itu, Annuar ketika ditanya mengenai keputusan FAM itu, beliau secara sinis berkata, setakat ini Johor tidak pernah melakukan kesalahan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib