Monday, 14 January 2013

Akaun bank Lisa Surihani digodam


 Pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya kerugian RM50,000 apabila wang dalam akaun bersama milik mereka dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Kehilangan wang itu disedari ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira jam 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, dekat sini.
Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.
“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib