Tuesday, 8 January 2013

Affize Gagal Dapat Pelepasan Terengganu


Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) tidak mahu melepaskan Mohd Affize Faisal Mamat untuk beraksi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mahu menggunakan khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi kempen Liga Super musim ini.
Presiden, Datuk Che Mat Jusoh berkata, mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 23 tahun itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran selepas kontraknya bersama Harimau Muda A tamat.

“Kalau mengikut peraturan FAM, mana-mana pemain yang sudah tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda perlu kembali ke pasukan negeri asal. Jika pasukan negeri tidak mahu barulah pemain itu dilepaskan ke pasukan lain.
“Tapi dalam kes Affize, kami memerlukannya. Memang kami tidak mendaftarkan namanya dalam pasukan kerana dia tidak mahu mengadakan perbincangan dengan kami. Kami tidak boleh mendaftarkan namanya jika dia tidak menandatangani kontrak. Tapi hingga kini kami masih mengosongkan satu tempat untuknya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam laporan semalam, Affize menyatakan keinginan untuk beraksi dengan ATM atas dasar mahu menimba pengalaman di luar dan berharap PBSNT dapat mengeluarkan sijil perpindahan dengan segera.
Jurulatih ATM, B Sathianathan berkata, pihaknya sudah mendaftarkan pemain tengah itu musim ini dan berharap keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM Khamis ini memihak kepada mereka.
Che Mat bagaimanapun menyangkal dakwaan mereka membuat keputusan pada saat akhir untuk memancing semula Affize selepas ATM berminat mengambil pemain itu.

“Kami tak pernah cakap kami tak nak (Affize), kalau kami tak mahu ambil dia, sudah lama kami melepaskannya kepada pasukan lain. ATM dan Affize sudah menghantar surat kepada kami sebelum ini dan kami juga sudah memaklumkan kepada mereka kami tidak boleh melepaskan Affize.” Ketika ditanya adakah Terengganu masih mahu mengambil Affize bermain sedangkan pemain itu secara terbuka menyatakan keinginan untuk beraksi bersama pasukan lain, beliau berkata: “Ini bukan soal minat atau tidak, ini soal peraturan. FAM sudah tetapkan peraturan itu dan semua pihak perlu patuh. Jika tidak FAM perlu ubah peraturan itu dan kami harap Affize beraksi bersama kami.”

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib