Sunday, 13 January 2013

70 model telefon pintar 3G Ditawar SKMM


Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mengemukakan 70 model telefon pintar yang boleh dipilih belia bagi mendapat rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, model telefon berkenaan akan dipapar menerusi laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan belia membuat perbandingan harga di pasaran.
"SKMM akan terus memantau pendaftaran itu menerusi internet dan kini 187,000 mendaftar untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia bagi pembelian telefon pintar," katanya ketika merasmikan program Himpunan Kasih Sayang, Klik Dengan Bijak dan Nilai-nilai Murni peringkat negeri Sabah di Kuala Penyu, dekat sini semalam.
Beliau berkata, kementerian juga akan menyenaraikan 1,000 wakil penjual alat telekomunikasi yang menyertai PKB di seluruh negara.
Kerajaan baru-baru ini telah melonggarkan syarat pembelian telefon menerusi pakej PKB daripada RM500 ke bawah kepada tiada had harga.
SKMM dalam kenyataannya semalam menjelaskan, belia yang telah mendaftar boleh menyemak model-model telefon serta senarai penjual di https://komunikasibelia.skmm.gov.my/plain/dealer.html.
Kenyataan itu menambah, para belia juga dinasihatkan agar memilih telefon berdasarkan kemampuan masing-masing dan tidak terburu-buru membeli selepas mendaftar.
Setelah mendaftar, belia yang layak diberi tempoh 30 hari untuk menebus rebat RM200 mereka di wakil-wakil penjual yang dilantik.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib