Sunday, 13 January 2013

(5 gambar) Ramona Zam Zam Sanggup Berkorban Demi Cinta

Benarkah cinta itu buta? Cinta ada ketikanya membuatkan manusia hilang pedoman hingga sanggup berkorban apa saja.
Maruah dan prinsip tergadai bahkan lebih daripada itu pun tidak mustahil berlaku. Dek cinta juga, gadis manis ini hilang pertimbangan. Terbang segala rasa malu dan perikemanusiaan demi memburu cinta.
Siapa sangka di sebalik air mukanya yang tenang, relung jiwanya berombak kencang. Taufan keinginan membutakan mata, minda serta hatinya. Meskipun cintanya ditolak berkali-kali, dia tidak pernah mengalah bahkan rasa itu semakin ghairah membuak.

Kecewa yang disulami kesunyian mengundang tekanan yang cukup hebat hingga hilang kewarasan. Si jejaka terus diburu dengan merancang pelbagai helah. Saat hati kian lelah, dia pernah melakukan percubaan membunuh diri. Tiada gunanya dia hidup andai cinta jejaka idaman tidak mampu dimiliki.

Cinta yang dianggap agung akhir­nya merosakkan diri. Itulah sebahagian kisah cintanya. Namun ia tidak berlaku dalam kehidupan sebenar Ramona Zam Zam, 22, sebaliknya sekadar dizahirkan menerusi watak Shireen dalam drama Cinta Jangan Pergi terbitan Filmscape yang dijangka mengulangi kejayaan Nur Kasih.

Karya arahan Kabir Bahtia dan Labu ini turut dibintangi Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Josiah Hogan. Shireen psiko. Dia tergila-gilakan Kalil lakonan Remy hingga sanggup lakukan apa saja termasuklah membunuh. Dia tidak boleh terima hakikat cintanya ditolak malah hatinya semakin sakit apabila Kalil memilih Lea Soraya (Tiz).

Ramona yang kelihatan ceria sepanjang fotografi yang berlangsung di Hotel Furama, Bukit Bintang, baru-baru kerana suasana tenang dan nyaman di lokasi yang cukup sibuk itu, mengharapkan Cinta Jangan Pergi menjadi permulaan baik untuknya tahun ini.

Yakin dengan hasil kerja Filmscape, dia sang­gup menolak tawaran lain sepanjang tiga bulan penggambaran yang baru saja berakhir minggu lalu. Kata Ramona, ini kemunculan pertamanya selepas lebih setahun menumpukan perhatian terhadap pengajian.

“Bagi saya, Shireen sangat istimewa kerana ia watak antagonis paling kuat pernah saya jayakan setakat ini. Ia bakal menjadi kayu pengukur kemampuan saya sekali gus menyerlahkan sisi berbeza persembahan saya.

“Sebelum ini saya sinonim dengan watak gadis baik, solehah dan isteri malang. Teguran seorang peminat buat saya tersedar harus mencuba sesuatu yang baru. Saya tidak mahu dilabelkan pelakon stereotype dan sejak itu, mula beralih ke watak antagonis.

“Ini watak jahat paling besar dan panjang penggambarannya. Bukan mudah hidupkan watak gila. Saya kena banyak menjerit hingga sakit tekak malah perubahan emosi saya seperti roller-coaster. Sekejap marah, kemudian ketawa dan tiba-tiba menangis.

“Pernah ketika menjayakan satu babak berat, kepala saya berdenyut sakit. Mungkin disebabkan saya terlalu menghayati watak. Sakitnya Tuhan saja yang tahu, namun disebabkan penggambaran sedang berjalan, kenalah tahan.

“Ketika babak Kalil tolak Shireen, saya minta Remy buat betul-betul. Biar ada impak dan saya dapat ‘feel’. Sedar-sedar sudah ada lebam besar di tangan. Saya tidak kisah asalkan babak itu menjadi,” katanya yang gembira berpeluang bekerja dengan Kabir.

Adakah Ramona ‘segila’ Shireen demi meraih cinta? Sambil ketawa, Ramona menegaskan dia tidak akan sekali-kali menggadai prinsip serta maruah kerana cinta. Baginya, itu tidak wajar kerana dalam soal hati dan perasaan tidak boleh ada paksaan.

“Saya bukan jenis yang memaksa. Biar cinta itu datang dengan sendirinya, tidak perlu dicari. Andai sudah ditakdirkan cinta itu milik kita, ia pasti hadir satu hari nanti.

“Memang dari dulu lagi, kalau rasa tidak serasi saya akan berundur. Daripada sakit kemudian hari, lebih baik hentikan. Peluang bukan sekali, andai gagal pasti ada yang lain lebih molek untuk kita. Lagipun cinta bukan segala-galanya dalam hidup. Jangan sampai kerana cinta kita tidak siuman,” katanya menyifatkan cinta itu indah tetapi ada sakitnya.

Nama Ramona Zamzam mungkin tidak dikenali ramai, apatah lagi drama dan filem lakonannya. Bagaimanapun, dia dihimpit kontroversi apabila gambarnya bersama beberapa lelaki hangat tersebar di Internet, tahun lalu.

Ramona menjelaskan, itu cerita lama yang sengaja disegarkan semula oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Katanya, mengapa ia perlu diungkit walhal dia sudah belajar daripada kesilapan zaman remajanya.

“Pengalaman lalu juga mematangkan diri saya dan saya kini lebih berhati-hati. Bagi saya itu kesilapan normal remaja. Ketika itu saya belasan tahun, nakal dan kenal dengan ramai orang.

“Gambar-gambar itu sebenarnya diulang tayang di Internet sejak lima tahun lalu. Bila bergelar selebriti, orang mula korek cerita lama. Saya kesal bila benda ini berlaku. Mereka tidak kenal saya dan terus jatuhkan hukuman.




“Tak mengapalah, itulah namanya kehidupan. Apabila ia berlaku, saya jadi lebih tabah. Kini, saya tidak peduli lagi dengan pandangan orang. Syukur, biarpun ia sengaja dihangatkan semula, kerja saya tidak pernah putus. Saban hari semakin banyak tawaran hingga ada yang terpaksa ditolak,” katanya.

Ramona juga akui, seboleh mungkin bila berada dalam bidang ini, dia mahu bebas kontroversi. Dia tidak mahu dikenali kerana cerita-cerita kurang enak.

“Selama ini pun saya tidak akan biarkan kontroversi berlarutan. Andai salah, saya akan minta maaf dan jika saya berada di pihak yang benar, saya akan tegakkan kebenaran. Mungkin ada yang kurang senang dengan ketegasan saya tetapi itulah diri saya yang sebenarnya.

“Dari kecil saya memang ada sifat melawan dalam diri. Jangan salahkan saya kalau kesilapan itu bukan dari saya. Jika ia berlaku, saya pasti akan bersuara. Saya bukan jenis yang hipokrit, berdiam diri saja jika difitnah.

“Saya tidak kisah jika orang labelkan saya pendatang baru yang lantang kerana bagi saya, tak salah andai kita tegakkan hak serta keadilan,” katanya.

Katanya, dia berazam menjadi wanita lebih matang dan berfikiran lebih rasional. Dia tidak menafikan sifat keanak-anakan masih tebal dalam dirinya dan hanya mereka yang rapat saja sedar perkara itu.

“Jangan terkejut, saya masih sukakan patung Barbie. Apa yang kanak-kanak suka main, saya pun suka. Ramai orang ingat saya anak bongsu padahal saya anak sulung. Mungkin kerana saya sangat manja dengan mak ayah. Insya-Allah saya akan berusaha keluar dari tabiat itu dan jadi lebih matang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib