Saturday, 5 January 2013

5 Artis Paling Kontroversi 2012


Rita Rudaini & perang rumah tangga

Awal 2012, Rita Rudaini mengejutkan peminat dan media apabila bertelingkah dengan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara menerusi laman sosial Twitter.

Mereka yang sememangnya tidak mesra sejak perkahwinan Rita dengan abang Zaquan, Aidil Zafuan dikatakan saling berbalas sindiran menerusi akaun Twitter masing-masing. Malah, isteri Zaquan, Ayu Raudhah, turut terheret sama dalam pertelingkahan ini, apabila
dikatakan menjadi batu api. Berikutan pertelingkahan itu, Aidil dikatakan bertindak keluar dari rumah tanpa sebarang alasan.

Tidak terhenti setakat itu, bermula daripada insiden keluar rumah itu, Rita dan Aidil mula naik turun mahkamah berkaitan isu penjagaan anak, kembali taat, dan kini berkaitan dengan kes penceraian pula. Kes berkaitan rumah tangga mereka masih berjalan sehingga kini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Dalam pada keretakan yang semakin parah itu, Jue Aziz pula dikaitkan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan mereka dan menjadi penyebab Aidil untuk berubah hati.

Si cantik Neelofa

Neelofa menjadi artis pucuk muda paling diperkatakan pada tahun ini. Apa tidaknya, bintang utama Azura 2012 ini kini dikatakan hangat menjalinkan hubungan cinta dengan penerbit, pengarah dan pelakon, Hans Isaac. Lebih hangat lagi, mereka dikatakan bercuti bersama-sama di Thailand pada pertengahan tahun ini, namun akhirnya membuat penjelasan berada di lokasi berbeza.

Tidak lama selepas itu, Hans menerusi sebuah portal mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan Neelofa, bagaimanapun akhirnya menegaskan ada salah faham dalam laporan itu.

Tidak cukup dengan kisah percintaan, nama Neelofa turut terpalit dengan kontroversi berikutan pergaduhannya dengan Anzalna dan Tasha Shila, apabila Neelofa dikatakan cemburu dan tidak berpuas hati dengan kemenangan Tasha Shila yang berjaya menewaskannya di dalam Anugerah Bintang Populuar 2011 menerusi kategori Artis Baru Wanita Popular.

Susulan daripada itu, Anzalna tampil mendedahkan sikap buruk Neelofa yang dikatakan sering menghinanya serta cuba menjatuhkannya ketika berada di dalam pertandingan program realiti itu. Kenyataan berani Anzalna itu bagaimanapun membawa padah kerana Neelofa kemudian mengambil tindakan mahkamah dengan menuntut Anzalna membuat kenyataan maaf dalam tempoh 7 hari.

Namun kes mereka dapat diselesaikan selepas campur tangan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Neelofa dan Anzalna kemudian berdamai selepas Anzalna mengeluarkan kenyataan maaf dalam sidang media yang dianjurkan Seniman.

Baru sahaja reda dengan kontroversi, nama Neelofa kembali menjadi perhatian apabila dikatakan bersikap biadab dan tidak profesional oleh pereka fesyen, Nurita Harith, yang menyediakan bajunya untuk program.

Namun, kes itu diam begitu sahaja selepas kedua-duanya berdiam diri.

Artis dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mungkin ada di antara selebriti tidak berniat untuk mencipta kontroversi, namun kerana status yang dikecapi, maka mereka tidak dapat lari dari menjadi perhatian bukan sahaja media, malahan peminat yang kini semakin peka dengan karier mereka.


Abby Abadi & Twitter

Penghijrahan Abby Abadi untuk berubah ke arah Muslimah sejati pada mulanya mendapat sambutan baik, bukan sahaja dari teman selebriti yang turut sama berubah, bahkan peminat dan media.

Namun, kontroversi bermula apabila Abby menyertai parti politik. Sejak itu, Abby dilihat semakin berani mengkritik bukan saja golongan selebriti bahkan orang kenamaan dan kerajaan.

Menggunakan medium Twitter dan Facebook, Abby mencetuskan kontroversi sebaik membuat pengakuan semakin sukar mendapat tawaran.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat perhatian beberapa rakan artis sehingga ada yang tampil menempelak kenyataannya.

Abby sekali lagi mengundang kontroversi apabila berani menyelar Polis Diraja Malaysia (PDR M), sehingga menarik perhatian rakan seperjuangannya dalam drama Gerak Khas, Datuk AC Mizal untuk berdebat, namun perkara itu diam sebegitu sahaja.

Tidak terhenti di situ, Abby kembali mencuri perhatian apabila mempertikaikan kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, berhubung isu hudud.


Kisah cinta Rozita

Sejak awal tahun lagi, nama Rozita Che Wan hangat diperkatakan. Pelakon jelita ini didakwa berkahwin dengan Datuk K, suami kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak terhenti dengan kisah Datuk K, nama Rozita kemudiannya dikatakan menjadi rebutan tiga jejaka, Beego, Shah Iskandar dan Zain Saidin. Semuanya garagara laporan sebuah akhbar yang mendedahkan kisah Rozita dan Beego jalan berpimpin tangan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka.

Nama Rozita juga menjadi sebutan apabila percutiannya ke London bersama adiknya, Ayu ditaja oleh seorang ahli politik. Tidak cukup dengan kisah cinta, nama Rozita terus panas dengan kewujudan sekeping gambar bogelnya.

Namun, ia turut dinafikan oleh Rozita dan menganggap ia adalah pelanduk dua serupa.


Bila Zed Zaidi berkuasa

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mula mencetuskan kontroversi apabila mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2011. Ketika itu, Aaron belum lagi mendapat taraf kewarganegaraan.

Selain itu, Zed secara lantang, menyekat kemasukan artis luar secara berleluasa dan pernah mempersoalkan permit kerja dua artis Indonesia, Randy Pangalila dan Julia Perez.

Ketika Mesyuarat Agung Seniman yang lalu, pelantikan Zed turut dipertikaikan kerana ada beberapa isu berbangkit dalam persatuan yang belum selesai.

Namun, kini Zed menjadi Presiden persatuan yang paling aktif dan lantang bersuara dalam membela nasib artis tempatan.

sumber sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib