Tuesday, 25 December 2012

Lima bintang cari rentak



LIMA pemain kebangsaan, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talha, Syafiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Azmi Muslim memulakan sesi latihan pertama bersama pasukan Johor Darul Takzim, semalam bagi mencari sentuhan serta persefahaman untuk menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Mereka berlatih buat kali pertama di padang Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, selepas sebelum ini diberikan cuti seminggu sebaik tamat cabaran Harimau Malaysia dalam saingan Piala AFF yang menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan apabila kecundang di tangan Thailand di separuh akhir.

Bagaimanapun kelima-lima mereka dilihat masih mencari rentak dan keserasian bersama pemain lain dalam skuad Harimau Selatan itu.
Ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad berkata, beliau berpuas hati dengan keadaan kelima-lima pemain bertaraf ‘bintang’ itu dan yakin mereka akan dapat menguatkan pasukan untuk saingan tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, sama seperti mana-mana pemain baru, mereka memerlukan masa untuk menemui rentak sebenar.



“Saya tengok mereka bersemangat berlatih bersama-sama pemain lain dan saya agak senang dengan keadaan fizikal mereka.
“Saya melihat mereka mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan ini dan hanya memerlukan lima atau enam perlawanan untuk beraksi hebat dalam posisi masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Fandi berkata pihaknya mengaturkan Kejohanan Jemputan Empat Penjuru yang bakal menguji pasukannya di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, selama dua hari bermula esok.
Pasukan bakal beraksi pada saingan itu ialah Johor Darul Takzim, Johor, Pahang dan kelab Liga Singapura, Woodland Wellington FC.

“Kita akan menentang Woodlands Wellington manakala Pahang menentang Johor dan pemenang perlawanan masing-masing akan bertemu pada perlawanan terakhir bagi menentukan juara,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib