Monday, 31 December 2012

Kerajaan Terengganu belanja RM4 juta naik taraf lampu stadium

Kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan belanja RM4 juta menaik taraf lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dalam masa terdekat ini bagi membolehkan aksi perlawanan bola sepak Liga Malaysia ditonton pada sebelah malam.

Bagaimanapun dalam tempoh tiga bulan yang akan datang perlawanan masih lagi perlu dijalankan pada sebelah petang semasa kerja membaiki lampu di stadium itu dibuat. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peruntukan berkenaan digunakan bagi menaik taraf lampu limpah termasuk menggantikan keempat-empat tiang lampu penjuru padang supaya pencahayaan lampu dapat memenuhi piawaian yang digariskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kontraktor memerlukan masa tiga bulan untuk menyiapkan kerja membaik pulih lampu di stadium itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan pramusim Liga Malaysia di antara pasukan Terengganu dengan T-Team di SSINS malam tadi.


Ahmad berkata, mengikut kerja pengubahsuaian itu, kuasa lampu di stadium akan ditingkatkan daripada 1000 lux kepada 1400 lux manakala tiang yang ada sekarang diganti untuk menampung lebih banyak lampu.

"Jadi terpaksalah guna stadium pada waktu siang untuk perlawanan Liga Super selama tiga bulan ini. Kita tidak ada pilihan lain, lagipun Stadium Sultan Mizan di Gong Badak juga sedang dibaiki," katanya.

FAM tidak meluluskan perlawanan Liga Malaysia dijalankan di sebelah malam di Terengganu pada musim akan datang kerana keadaan lampu limpah di SSINS tidak mencapai tahap yang ditetapkan, iaitu 1,200 lux.


Ahmad berharap peminat dan penyokong Terengganu dapat bersabar dan masih turun memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan negeri itu walaupun dalam keadaan tidak selesa kerana bermain pada sebelah petang.

Mengenai prestasi kedua-dua pasukan tersebut, Ahmad berkata, beliau yakin Terengganu mahpun T-Team akan pergi lebih jauh dalam Liga Malaysia berdasarkan persembahan malam tadi.

Beliau berpuas hati dengan prestasi pasukan negeri terutama penyerang Terengganu kelahiran Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona.- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib