Monday, 31 December 2012

Banjir Kelantan, Terengganu pulih


Banjir di Kelantan dan Terengganu hampir pulih sepenuhnya apabila hanya tinggal 370 mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sehingga lewat petang semalam.

Di Terengganu, sebanyak 119 mangsa dari 24 keluarga masih berada di satu pusat pemindahan di sini, sehingga jam 7 petang semalam. 
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, berkata mangsa masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, di sini, dan jumlah itu berkurangan berbanding 3,288 mangsa daripada 813 keluarga kelmarin. 

Cuaca panas sejak kelmarin membolehkan mangsa pulang selepas banjir surut dan membersihkan kediaman masing-masing.

Bagaimanapun dua laluan di Kemaman dan masing-masing di Hulu Terengganu dan Dungun ditutup kepada semua kenderaan berikutan kenaikan paras air.

Laluan berkenaan ialah Kilometer 14 Jalan Chukai-Air Putih, Kemaman (sebelum jambatan Lebuhraya Pantai Timur (LPT); Jalan Durian Mentangau, Dungun; Jalan FELDA Neram 2, Kemaman dan jalan masuk ke FELDA Mengkawang, Hulu Terengganu.

Lebih 300 penduduk di Kampung Durian Telor, Hulu Besut, terputus hubungan apabila sebuah jambatan konkrit menghubungkan kampung itu dengan bandar ini roboh dilanda banjir Ahad lalu. 
Penduduk terpaksa mencari laluan lain melalui Lebuhraya Pelagat dan mengambil masa lama untuk sampai ke bandar Jertih dan kawasan sekitarnya.

Pejabat Daerah Besut sudah membina laluan sementara bagi membolehkan kenderaan ringan termasuk motosikal dan kereta menggunakannya untuk ke Pasir Akar dan Bandar Jertih.

Di Kelantan, keadaan banjir hampir pulih sepenuhnya, apabila hanya satu pusat pemindahan dibuka sehingga jam 7 petang semalam, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2, di Tumpat.

Portal rasmi banjir kerajaan negeri melaporkan hanya tinggal 30 mangsa dari lima keluarga masih ditempatkan di pusat berkenaan membabitkan 20 kanak-kanak dan 10 dewasa.

Pada jam 3 petang, seramai 251 mangsa dari 74 keluarga masih berada di pusat pemindahan termasuk di SK Pengkalan Kubor 1, membabitkan 136 kanak-kanak dan 115 dewasa.

Paras air di semua sungai utama kembali normal, kecuali Sungai Golok, yang melebihi paras amaran lapan meter dengan mencatatkan 8.21 meter.

Satu jalan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjong-Rantau Panjang akibat hakisan.

Satu pasukan Jabatan Kesihatan negeri dengan membabitkan empat pasukan perubatan dan satu kesihatan, masih ditempatkan di SK Pengkalan Kubor 2, bagi memantau keadaan kesihatan mangsa banjir di pusat pemindahan itu.


0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib